12 October 2007

Isu Palestin mampu rawat kemelut dunia Islam


Mendengar promo palestinkini.info di dalam sebuah corong radio tempatan, seorang apek cina membebelkan: ”Palestin...manyak problem ma...” yang pada saya telah memaknai komen sinis lagi tersirat. Menafsirkannya, jika sedemikian persepsi masyarakat umum dalam melihat isu Palestin sekadar isu sahaja tanpa kajian teliti dan menimbang dengan mizan yang sahih, sama juga semudah mengomel: ”banyak betul masalah Palestin nih...” atau ”tak habis-habis lagi ke perang Palestin-Israel nih?”. Mudah menghukum dan kaya dengan alasan tanpa menterjemah kepada tindakan. Begitu, tidak bijak menyalahkan sesiapa kerana sebenarnya isu ini belum ’menggigit’ hati masyarakat dunia khususnya rakyat Malaysia.

Syaikh Abdullah Nasih Ulwan, seorang ulama Muslimin telah menoktahkan beberapa poin berharga sebab yang menjerumuskan wilayah Palestin seperti wajahnya kini. Merawatnya bererti kita bakal mengembalikan kemenangan yang dijanjikan.

Pertama, Punahnya maknawi dan ruhi umat

Unsur spiritual umat Islam sudah hilang. Mereka tidak mengenal agama mereka sendiri. Tenggelam dalam karat materialisme dan duniawinya. Mereka sudah terhakis ruh Islam yang basah dengan nilai itu. Di sana sini tersebarnya gejala maksiat dan candu-candu jahiliyah. Kaki zina, kaki botol, kaki riba dan segala kaki ini kini sangat berleluasa di dalam jantung umat. Nauzhu billah!

Kepentingan aspek ruhi dan maknawi ini telah menghadirkan Saidina Umar al-Khattab yang berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, komander tentera Islam yang menghancurkan kejahatan Parsi.

“Amma ba’du, sesungguhnya aku memerintahkanmu untuk bertaqwa kepada Allah atas segalanya. Sebab, taqwa kepada Allah adalah persiapan paling sempurna menghadapi musuh dan tipu daya dalam pertempuran.

Aku perintahkan kamu dan orang yang menyertaimu untuk selalu menjaga diri dari perbuatan maksiat yang berasal dari diri kalian sendiri daripada maksiat musuh-mush kalian. Sebab, dosa tentera kita lebih aku takutkan daripada kekuatan musuh.

Ketahuilah bahawasanya kemenangan kaum muslimin disebabkan perbuatan maksiat musuh-musuh mereka terhadap terhadap Allah. Kalau bukan demikian, kita tidak punya kekuatan apa-apa kerana jumlah kita tidak sebanyak mereka dan persiapan tempur tidak selengkap mereka.

Jika kita berbuat maksiat, maka mereka memiliki keunggulan kekuatan (kerana jumlah dan persenjataan yang lebih canggih). Kita bisa menang kerana keutamaan kita (meninggalkan maksiat).”

Dunia selalu tercengang melihat ’keajaiban’ tentera Islam yang sedikit mampu mengalahkan ratusan ribu musuh-musuh Allah. Kesimpulannya, syarat pertama untuk menang adalah taqwa kepada Allah dan menjaga diri dari maksiat. Menurut Syaikh, Salahudin Al-Ayyubi berjaya membebaskan Palestin juga kerana faktor ini. Subhanallah!

Kedua, Perpecahan demi perpecahan

Dunia Islam kini sedang menggali kuburnya sendiri. Mana tidaknya, kesatuan dan ukhowiyah dunia Islam makin hakis. Masing-masing saling bercakaran, berbantah-bantah dan taksub kenegerian. Pemerintah Islam kini lemah dan angkuh, berkompromi dengan musuh Allah sehingga menggadaikan maruah Islamnya. Akibatnya musuh-musuh Islam mengambil kesempatan menyerbu dan meratah umat Islam sekenyang-kenyangnya. Lihatlah saja kepada Iraq-Iran, Kuwait dan Iraq, Libya dan Arab Saudi dan dunia Islam lain.

“Dan janganlah kamu berselisih, maka kamu jadi lemah dan hilang kekuatanmu…” (Al-Anfaal 46)

Mengapa perpecahan ini makin parah? Kita dapat membahagi kepada dua: luaran dan dalam. Sebab luaran terangkum dalam konspirasi musuh dan juga fitnah yang menyebabkan negara umat Islam saling tuduh-menuduh dan berperang sesama sendiri. Akibatnya, mereka bergantung pada orang luar (negara asing) dalam ekonomi dan sumber teknologi canggih. Faktor dalaman, yang ini lebih bahaya, berakar dari sifat pemimpin umat Islam yang fanatik kenegaraan dan terlalu egoisme (tidak mahu bertoleransi). Maka apabila dasar khilaf atas nafsu, maka kebenaran mana mungkin menjelma.

Kesatuan adalah prinsip asas kemenangan umat Islam. Tanpa kesatuan ummah, tanah anbiya’ Palestin amat sulit dibebaskan dari penjajahan Zionis dunia yang sangat berpengaruh.

Ketiga, Pemimpin Islam suka beretorik dari bertindak

Pasca pendudukan Israel di tanah Palestin pada 1948, negara Arab sekadar membangkang, namun usaha serius dalam penentangan tidak begitu menggigit. Sekadar perang mulut dan persiapan kurang serius dan tidak total memukul Israel. Persiapan yang amat sedikit dan persenjataan yang mundur telah menobatkan musuh Allah ini menakluk Palestin. Dalam kelompok yang serius mempersiapkan kekuatan adalah Ikhwan al-Muslimun yang mengorbankan ribuan anggotanya memukul Israel, namun usaha mereka disalahertikan dan yang lebih malang, kepulangan mereka disambut dengan jeriji besi gergasi. Sedemikian korupnya insan yang memikul pemerintahan Mesir ketika itu.

Persiapan yang matang dan tumpuan penuh adalah prasyarat membebaskan bumi Palestin. Secara komprehensif, kekuatan dalaman juga luaran, fizikal dan mental, teknologi dan strategi, ekonomi dan ketenteraan, mental dan spiritual harus kukuh dan bersedia. Jika di Palestin sendiri begitu keperluannya, maka kita yang diluar bagaimana?

Keempat, Niat berjuang bukan Lillahi Rabbul Alamin

Niat bangsa Arab berperang sekitar 1948 dulu berorientasikan fanatisme Arabnya, maka hari yang berlalu menyaksikan usaha mereka asyik kecundang. Inilah juga yang berlaku dalam Perang trio Inggeris-Perancis-Israel mengganyang Mesir 1956, ’Perang Enam Hari’ 1967, Perang Mesir-Syria menentang Israel 1973 yang masih lagi jelas memuncakkan Pan Arabismenya di situ. Begitulah juga di dalam wilayah Palestin yang dikumandangkan adalah ideologi nasionalisme dan sekularisme. Maka, kita lihat mereka (umat Islam) tewas dalam perjanjian ’damai’ dan kompromi mereka dengan musuh-musuh Allah.

Alhamdulillah, 1987, menyaksikan cahaya Islam terbit dalam bumi Palestin sendiri apabila laungan Intifadah bergema dan ideologi perjuangannya, ”Kembali kepada Islam!”, makin popular. Usaha HAMAS mendapat sokongan ramai dan berjaya meningkatkan komitmen Israel untuk terus berperang. Islam menjadi ideologi perjuangan rakyat Palestin dan bukan lagi anutan jahiliyyah yang kian tenggelam. Jelas, kemenangan buat Palestin adalah bersyarat. Meletakkan Allah sebagai landasan niatnya. Menjadikan Syariah prinsip pemerintahannya. Meninggikan kalimah Allah sebagai cogankatanya.

Kelima, Anggapan isu Palestin hanya isu lokal

”Masalah Palestin adalah masalah bangsa Arab”, ”masalah mereka biar mereka yang selesaikan”...begitulah sikap sebahagian umat Islam dalam menanggapi isu umat ini. Selagi mana semangat asabiyah kenegaraan (nasionalisme) mencengkam umat maka selagi itu, kita hanya mampu melihat rakyat Palestin berseorangan mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa. Kini, hatta sehingga kiamatpun, al-Aqsa terus dijajah selamanya.

Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) yang dicipta pasca peristiwa pembakaran masjid al-Aqsa 1969 lalu tidak menampakkan inisiatif berkesan dan usaha yang bersungguh-sungguh. Pemimpin Islam lebih gemar beretorik dari bertindak. Jika beginilah sikap dunia Islam dan kuasa antarabangsa, sememangnya masih lambat lagi bumi Palestin dapat dibebaskan.

Menutup bicara, kunci indah dari Allah ini mampu melembutkan hati dan menenangkan jiwa kita. Isu Palestin ini bisa jadi rawatan terhadap apa jua persoalan mencengkam kuasa-kuasa Islam dengan syarat taqwa dan ukhowiyah mereka berdiri kukuh:

”Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara...” (Al-Hujurat 10)

Sesungguhnya kedudukan Islam sangat tinggi. Islam menawarkan keadilan dan keamanan. Islam mampu menyelesaikan segala persoalan umat dan kemelut dunia Islam. Maka, kesempatan Aidilfitri ini sebagai hari kemenangan ini umat Islam sewajarnya insaf diri dengan memperbaiki dan merawat kelemahan lama demi kejayaan mendatang. Dengan keyakinan ini moga cukup buat umat memperkemaskan komitmen dan meluruskan niat untuk mencurahkan segalanya demi pembebasan bumi Palestin dan dunia yang terjajah. Terserah kepada anda...!


No comments: