22 April 2005

Menghayati budi Muhammad Bin Abdullah

Muhammad bin Abdullah. Adakah kita mengenali sebenar-benar insan istimewa ini? Sudahkah kita menyelak buku sejarah dan motivasi tentang dirinya? Visi dan misinya? Akhlaknya? Budaya kerjanya? Sikapnya? Pengorbanannya dan perjuangan? dan komitmennya untuk manusia? Kalau jawapan anda adalah belum, jangan teragak-agak untuk menyerang ke galeri buku dan rak-rak buku perpustakaan.. Mengetapkan jemari di bebutang keyboard, meluncur ke dalam internet. Bertanyakan kepada guru agama di sekolah, universiti dan masjid. Kita selongkar identiti insan ini.

Dia seorang insan agung. Nabi kepada umat Islam. Rasul pembawa khabar gembira dan amaran dari tuhan. presiden negara Islam. jeneral perang yang berstrategis tinggi. Ayah penyayang. Suami pengasih. Sahabat setia. Guru dan gedung ilmu. Sebaik-baik manusia yang diciptakan kerana akhlak dan tauladan kepada manusia.

Mengapa perlu mengenali dia? Bukankah ramai lagi insan lain.

Muhammad adalah idola manusia. Muhammad adalah idola paling unggul yang merangkumi segenap ciri kepada makhluk yang berjenama manusia. Seseorang yang merasakan dirinya adalah manusia, sesungguhnya mereka secara automatik berkait dengan kemanusiaan Muhammad.

Muhammad adalah utusan tuhan untuk memimpin manusia. Mengajak manusia mengenali pencipta jasad dan jiwa manusia. Menggerakkan masyarakat untuk berbakti kepada keamanan dan kerukunan manusia. Mendidik manusia erti kehidupan sebenar. Mengajarkan manusia siapakah diri mereka kepada tuhan mereka. Mencirikan tanggungjawab dan budi kepada tuhan, manusia dan alam. Menjadi tauladan yang terbaik dalam semua sudut. Menarik tangan manusia dan memimpin mereka menelusuri jalan selamat ke syurga yang dijanjikan.

Muhammad juga manusia biasa. Dia makan dan minum, berkahwin, bersahabat, bekerja, berniaga, bernegara. Dia melalui jalan-jalan kehidupan seperti manusia biasa. Bermain dan berkawan sewaktu kecil. Pernah kehilangan ayah di usia kecil. Mendapat belaian kasih ibu. Mengikut ayah saudaranya berniaga. Mengembala kambing. Mengahwini wanita. Sesungguhnya, dia bukanlah malaikat. Malaikat yang bersifat dengan ciri yang tidak dapat kita gambarkan dengan mata kasar. Jauh sekali dengan ciri syaitan, musuh manusia. Ataupun haiwan, tumbuhan dan hidupan asing lain.

Jalan Muhammad pernah berduri. Pernah jua dia kecundang, dihina, dan dicaci. Tetapi itulah pengorbanan seorang insan untuk kebaikan insan lain. Pernah dipulau dan difitnah oleh kaumnya dan penduduk Makkah kerana ajarannya. Tapi itu perjuangan seorang nabi untuk umatnya. Pernah luka dimuka dan patah giginya dalam peperangan. Namun itulah jerit perih seorang kekasih tuhan untuk tuhannya. Selayaknya manusia mengharung sakit dan perit membawa gelombang perubahan kepada dunia. Selayaknya manusia juga bersusah-susah untuk mengibarkan logo Islam yang indah.

Muhammad berbudi dalam segenap aspek. Dari sekecil-kecil hinggalah yang ke sebesar-besarnya. Dari kehidupan berkeluarga kepada pemerintahan sebuah negara. Dari bersahabat kepada merancang strategi ketenteraan. Dari mengajar anak isteri kepada menyeru kuasa dunia kepada keunggulan Islam. Dari etika makan minum di rumah kepada pelaksanaan undang-undang negara. Berbudi dalam perjuangan dan pengorbanan mengajak manusia kepada tuhan sebenar.

Ciri kemanusiaan inilah yang selayak diiktiraf manusia. Bahawa sebenarnya manusia memiliki tauladan unggul untuk diikuti. Disandarkan cara dan budaya hidup mereka. Manusia boleh hidup di dunia yang mencabar dengan bantuan seorang bernama Muhammad. Pemimpin manusia. Pengatur setiap langkah dan hari-hari untuk manusia. Dia menyampaikan apa yang diutuskan tuhan untuk manusia. Untuk kejayaan hakiki di dunia dan alam selepasnya, akhirat.


Percayakah jika anda seorang eksekutif syarikat, anda memiliki personaliti dan prinsip Muhammad. Apapun jua profesyen dan posisi anda. Perdana menteri, pegawai kerajaan, guru sekolah, penoreh getah, penyampai berita, wartawan, surirumah, penghibur , remaja belia dan sebagainya. Apapun anda. Anda layak memiliki personaliti seorang nabi. Itulah budi Muhammad bin Abdullah.IS

No comments: