01 May 2009

Sumbangan Arab kepada Isu Palestin


Mahu atau tidak, sesiapa jua yang ingin berhujah dalam isu Palestin wajib mengkaji sejarah. Hanya dengan pengayaan dan penguasaan sejarah, analisis-analisis kita akan bertambah kredibel (Insya Allah). Sumber berdasarkan kepada penulisan timur dan barat serta bahan dan dokumen pensejarahan sangat penting dan akan menguatkan sesuatu fakta.

Dalam buku Arab/Israeli Conflict: Contested Spaces karangan Ian J Bickerton dan Maria Hill, sejarah mencatatkan bahawa sikap pemimpin Arab adalah antara punca konflik ini berlarutan. Mana tidaknya, keputusan Sharif Mekah ketika itu Sharif Hussein pada Julai 1915 melalui suratnya memohon bantuan British untuk kemerdekaan dari kerajaan Turki Uthmaniyah satu tindakan yang sukar diterima akal. (Kerajaan Turki Uthmaniyah mengamanahkan keturunan Sharif Hussein sebagai pengawal dan pentadbir besar Kota Mekah pada 1908).

Sebagai balasan, Sir Henry McMahon (Pesuruhjaya Tinggi British di Kaherah, Mesir) dalam surat bertarikh 24 Oktober 1915, McMahon setuju untuk membantu proses kemerdekaan Arab dengan syarat menyerahkan Mersina, Alexandrette dan juga Syria serta mengakui hanya Great Britain sebagai penasihat dan juga meminta pentadbiran Basra dan Baghdad.

Hasil proses tawar-menawar ini, berakhir dengan Perang Arab atau Arab Revolt yang diketuai Emir Faisal (anak ketiga Sharif Hussein) pada June 1916.

Antara 1914 – 1924, merupakan detik-detik akhir Arab dan kekuasaan Islam Turki Uthmaniyah jatuh ke tangan penjajah. Kuasa-kuasa besar dunia ketika itu seperti British, Perancis dan Rusia huhhh dengan enaknya, meratah-ratah cebisan kek negara-negara Islam. Begitulah sifat sejarah, ada lahir, bangkit dan jatuhnya.

Persoalannya, bila pula kita akan bangkitkan semula sejarah umat Islam yang gemilang, pernah gemilang dengan panji Rahmatan Lil Alamin? Ayuh, optimislah merubah dunia dengan kalimat Syahadatain yang agung; atau kita hanya pandai bersyahadah pada lisan tanpa amalan?

No comments: