05 March 2008

Memilih Pemimpin: Apa pertimbangan anda?


Bahang pilihanraya umum kali ke-12 semakin membuak. Besok, bagi yang layak mengundi, membuang undi adalah tanggungjawab kepada negara. Dalam kerancakan perang saraf dan perang poster yang menghiasi kempen-kempen di kota mahupun di desa, persoalan paling utama dijawab setiap pengundi adalah pemimpin bagaimana yang patut dipilih? Adakah kita sekadar mengikut-ikut orang atau kita memiliki pertimbangan bijak dalam membuat pilihan? Ini kerana kesan pengundian kita menentukan corak dan dasar pemerintahan negara. Samada sistem yang tunduk kepada Syariah Allah (Sistem yang Adil) ataupun yang bagaimana.

Dalam menjawab persoalan ini, penulis mengariskan secara ringkas tips asasi dalam memilih pemimpin di kawasan kita sebagai panduan membuat pilihan (mengundi);
a) Akidahnya sejahtera

“Sesungguhnya, hanya sanya pemimpin kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan mereka adalah orang-orang yang ruku’ (tunduk dan patuh kepada titah perintah Allah Subhanahu Wa Ta ‘ala)”. (Surah al-Ma’idah: Ayat 55)

“Dan barangsiapa yang berketuakan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya Parti Allah itulah yang mencapai kemenangan”.
(Surah al-Ma’idah: Ayat 56)

Ayat di atas sangat jelas kepada umat Islam agar menjadikan pemimpin yang beriman kepada Allah sebagai pilihannya. Ini kerana pemimpin yang beriman dan melaksanakan tuntutan dan ketaatan kepada-Nya dapat mengembalikan umat manusia kepada sistem Allah iaitu Syariah yang menjadi asas kehidupan masyarakat Muslim. Umat Islam wajib mengutamakan akidah pemimpin sebagai timbangannya. Kriteria ini bukan bertujuan untuk menyisihkan pemimpin belum Islam tetapi ia adalah prinsip asasi di dalam Islam. Jika tiada pilihan, pilihlah yang paling kurang memberi mudarat kepada kepentingan agama dan negara. Jelas, politik adalah sebahagian dari sistem Islam yang lengkap. Namun, ia memerlukan kepada pengamalan yang tepat berlandaskan wahyu dan amalan Rasulullah dan sahabat baginda yang sahih.

b)
Ibadahnya sahih
Pengundi juga perlu memastikan pemimpin yang ingin dipilih benar-benar seorang yang sahih ibadahnya dan komited melaksanakan tuntutan ibadah kepada Tuhannya. Tugas utama manusia sebaik diciptakan di muka bumi ini adalah semata-mata untuk beribadah (mengabdikan diri) kepada Allah.

”Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat:56)

c)
Akhlak dan peribadinya mantap

Keperibadian yang baik dan mesra rakyat adalah ciri-ciri yang baik diangkat sebagai pemimpin. Akhlak yang baik menggambarkan kecantikan personaliti dalam melaksanakan kebaikan kepada rakyat banyak. Teladan terbaik untuk diikuti adalah Rasulullah dan generasi para sahabat baginda. Maka, elakkan memilih pemimpin yang rasuah, suka membazir, menyalahguna kuasa, tidak amanah, suka berbohong dan melaksanakan kemungkaran.

d) Komitmen terhadap agama dan rakyat
Sifat yang perlu ada pada pemimpin adalah kesungguhan dan ketekunannya dalam melaksanakan tugasnya kepada Allah dan rakyat di bawahnya. Pemimpin yang mengutamakan rakyat dari kepentingan dirinya penting membuktikan kepeduliannya terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang tidak rnemikirkan urusan dan kepentingan kaurn muslirnin (tidak rnenyukai tujuan perjuangan ummat Islam untuk menegakkan Hukum Allah dalam masyarakat), rnaka bukanlah ia dan golongan kaum Muslimin”. (Riwayat al-Baihaqi)

Baginda juga mengingatkan kepada pemimpin terhadap amanahnya: ”Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanya tentang pimpinanmu.”

e) Mengutamakan pendidikan dan kesejahteraan

Tanggungjawab seorang pemimpin juga adalah mendidik rakyatnya dan memastikan kesejahteraan terjamin. Pendidikan adalah asas untuk melahirkan generasi rakyat yang bermanfaat dan berjaya. Untuk itu, pemimpin wajib memastikan pendidikan termasuk pendidikan Islam disempurnakan kepada seluruh rakyatnya. Sekolah dan pusat pengajian tinggi yang mendasari Islam seharusnya dilaksanakan dengan cemerlang dan bersistematik. Kerajaan yang dirahmati Allah dibentuk berasaskan dakwah yang menyuburkan ketaqwaan dan keimanan seluruh rakyat kepada Allah.

Sememangnya tugas pemimpin amat berat menjaga wilayah tanggungjawabnya. Maka, rakyat yang bijak memilih pemimpin yang beriman, taat dan beramanah untuk memastikan manusia dan alam ini sejahtera dan mendapat rahmat dari Allah. Sesungguhnya, setiap amalan kita termasuk mungundi (mengangkat) pemimpin akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak. Untuk itu, buatlah pilihan yang tepat demi masa depan kita bersama. Selamat mengundi!

No comments: