28 September 2006

AL-AQSA Produk Iman untuk Belia

Yal‘abu as-syababu dauran hamman. Lahum fi al–fikrah wal qudrah. (Pemuda memainkan peranan yang penting dalam masyarakat. Mereka memiliki idealisma. Mereka memiliki tenaga). Demikianlah ungkapan Sheikh Faisal Mahlawi, salah seorang sheikh dakwah dalam gerakan Islam apabila ditemuramah penulis dalam misi kemanusiaan Kembara al-Quds pada 26 November 2005 yang penuh makna.

Ungkapan ini membawa gambaran komprehensif terhadap peranan generasi muda menggalasi beg dakwah yang semakin mencabar dan penuh ujian. Perkongsian 40 minit bersama Setiausaha Agung Persatuan Islam Lubnan itu amat mengesankan kami yang sempat mengutip sebutir dua mutiara ilmu dan pengalaman dakwah beliau di peringkat antarabangsa.

Kebangkitan pemuda Islam
Gema kebangkitan Islam kembali setelah kejatuhan yang cukup menyedihkan dan menyakitkan umat Islam. Tertiarapnya payung khilafah Islam pada 1924 akibat kelemahan umat Islam dan kuasa penjajahan barat, membuatkan umat Islam sejak detik itu sejak saat itu tidak dapat tidur lena. Mereka bekerja bersungguh-sunguh mencari formula kebangkitan dalam hari-hari mereka walaupun ramai umat Islam gugur satu demi satu akibat kezaliman dan tekanan musuh Islam yang menerjah dakwah mereka.

Prestasi dakwah yang dibentangkan oleh AKP di Turki, Partai Keadilan Sejahtera di Indonesia dan juga HAMAS di Palestin menyentakkan banyak pihak terutama golongan musuh yang cemburu dan iri terhadap Islam. Formula kebangkitan yang berorientasikan fikrah Islam yang syumul dan berpijak dalam realiti manusia menjadikan ia kian digemari dan mula mendapat sambutan ramai. Kerja keras yang dimulakan oleh generasi awal selepas kejatuhan khilafah tersebut telah melahirkan ribuan malah jutaan pekerja Islam yang komited dan setia memperjuangkan Islam.

Pencabulan terhadap bumi anbiya’ Palestin telah membangkitkan sekumpulan pemuda dari Mesir gagasan Imam al-Banna untuk menghantar jiwa-jiwa yang bersih memukul balik kezaliman Zionis pada tahun 1948. Walaupun ramai yang gugur dan mengalami kekalahan besar, ia menyedarkan umat Islam di seluruh dunia. Keberanian dan siaga pemuda Mesir ketika itu amat mengejutkan pemerintah Mesir sendiri yang kemudiannya mengkhianati mereka.

Begitu juga situasi getir apabila rejim Zionis yang semakin buas merompak Masjid al-Aqsa dan sekitarnya dari tangan Islam. Intifadah pertama atau Intifadah Masjid tajaan HAMAS pada 1987 menggegarkan dunia Islam dan barat apabila gagasan pemuda Palestin yang beriman melaungkan slogan Islam dalam hati mereka dan membuahkan pukulan hebat terhadap musuh mereka. Lemparan batu kecil dari tangan anak-anak remaja Palestin yang mulia berjaya menakutkan rejim itu. Kegigihan para pemuda Palestin yang merancang penentangan dan mengorbankan usia, jiwa dan saudara mereka menyebabkan rejim itu berfikir seratus tiga puluh tujuh kali. Penumpuan pada kerja kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda meletakkan mereka semakin diminati dan disayangi sekalian rakyat. Natijahnya, kemenangan HAMAS pada 26 Januari 2006 yang lalu mengukir sejarah manis dalam kamus perjuangan rakyat Palestin.

Dari lontaran batu kecil sehinggalah pemerintahan rakyat. Kejayaan HAMAS bukan calang-calang. Bagaimanakah mereka begitu berani dan sanggup mengambil risiko berdepan dengan rejim Zionis yang ganas itu? Apakah asuhan jiwa buat pemuda yang mampu menghadapi musuh Islam dalam keadaan jiran-jiran mereka telah diikat penjajah dengan kuasa sempadan dan semangat nasionalis yang tebal?

Rahsia kejayaan
Rahsianya berakar dari basuhan Islam yang syumul. Mereka memahami seruan Ilahi yang Maha Esa. Membebaskan hati dari kesyirikan. Menegakkan kalimah-Nya. Mengajak manusia kembali kepada fitrah. Mereka melaksanakan Islam dengan manhaj yang sahih dan syumul. Merekan menjadi saksi (keterangan) kepada sekalian umat manusia terhadap kebenaran Islam yang Agung.

”Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan yang pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah pula akan menjadi saksi menerangkan kebenaran perbuatan kamu”. (al-Baqarah 143)

Darah yang mengalir pada mereka adalah dakwah dan pendidikan. Dari masjid menuju ke sekolah dan rumah telah menjadi payung kebaikan dan pendidikan buat generasi muda Palestin, langsung membentuk mereka untuk menggabungkan diri dalam saf perjuangan membebaskan tanah air mereka. Pemuda Palestin telah melalui satu fasa pendidikan yang intensif dan syumul guna persiapkan mereka membela kebenaran. Asuhan pemuda ynag digagaskan HAMAS dalam setiap sisi kehidupan mereka berjaya membentuk pemuda pemudi mahsyur yang gugur syahid seperti Yahya Ayyash, Wafa’ Idris, Dareen Abu ‘Ishah, Nura Jamal Shalhub, Muhammad Halas dan ramai lagi angkatan baru acuan tarbiyyah Ikhwan.

”Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka mereka dengan hidayah petunjuk”. (Al-Kahfi 13)

Sistem pendidikan yang syumul dan komprehensif ini berjaya meledakkan kuasa menggerakkan mereka melawan rejim Zionis dan kuncunya dengan iman, kebijaksanaan dan keberanian. HAMAS menumpukan banyak masa untuk melapis gerakan mereka. Ini dapat dilihat apabila setiap kali tokoh mereka dibunuh dan dipenjarakan, muncul tokoh baru yang penuh karisma dan komited.

Pengorbanan dan kecekalan saudara kita di Palestin bukanlah sedikit. Harta, rumah, anak, isteri, kemewahan dan kesenangan telah mereka serahkan termasuk jiwa-jiwa mereka sebagai benteng membebaskan ’Urshalem’ atau al-Quds dan menegakkan Islam di Palestin. Hati yang dibasahi iman, keinginan yang kuat kepada Islam dan kesungguhan membangunkan generasi Islam berjaya melonjakkan HAMAS sebagai sebuah kerajaan Islam yang baik lagi dihormati atau good governers bukan sahaja di mata rakyat Palestin tetapi juga masyarakat dunia yang mengenali mereka.

Pelajaran untuk belia
Terlalu banyak pelajaran yang boleh diambil dari gelombang kebangkitan gerakan dakwah atau Syahwah Harakiyah sama ada di Palestin mahupun di Indonesia. Penekanan yang serius dalam tarbiyyah kepada aktivis dakwah. Semenjak tahun 1965-1970, fasa pembinaan masjid telah melajukan proses membina sekaligus memacu kejayaan ummah. HAMAS semenjak dari tahun 1975-1980 dalam fasa pembinaan institusi sosial termasuk universiti telah menumpukan kerja-kerja kebajikan dan banyak meringankan bebanan rakyat melalui khidmat kemasyarakatan yang maksimal. Tahun 1984 – 1987 detik paling getir buat HAMAS selepas jihad dilancarkan dan penentangan secara terang sehingga menyebabkan ramai aktivis disumbat di sebalik tirai besi.

Pembinaan yang tersusun kukuh dan terarah menjadikan dakwah mereka amat disenangi kerana pekerja mereka yang faham dan meletakkan misi Islam yang agung dipuncaknya.Tidak hairan mengapa mereka begitu popular kerana imej ’bersih dan peduli’ yang dibentang kepada masyarakatnya. Dari sudut akidah dan ibadah, HAMAS telah selesai. Dari sudut pengalaman dakwah mereka tauladan. Dari sudut professionalisme jauh terkehadapan. HAMAS mencetak banyak golongan professional dan ulama’ yang berperanan besar membangunkan masyarakatnya. Nama besar seperti Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Aziz Rantissi, Mahmoud Abu Zahhar cukup sinonim buat rakyat Palestin sebagai golongan yang banyak menyumbangkan kepakaran mereka.

Kejayaan HAMAS memerintah rakyatnya secara demokrasi sejak 26 Januari 2006 walaupun indah, berdepan dengan tekanan yang bertali arus terus menerjah dari semua arah. Dan saat inilah segala pengorbanan mereka bulat demi mempertahankan Islam.

Memetik kata Imam Hassan al-Banna: ”Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud empat asas ini. Keimanan. Keikhlasan. Semangat. Usaha. Ia adalah sifat istimewa para pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka.Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.”

Hakikatnya, HAMAS telah membuktikan dakwah mereka diterima dan mendapat sambutan masyarakat. Kekuatan mereka pada sistem pendidikan dan banyak sudut strategik yang lain dalam politik, khidmat kemasyarakatan dan sosial meletakkan mereka nun jauh ke hadapan.. HAMAS telah mengajar gerakan Islam bagaimana seharusnya mereka berjuang. Kejayaan HAMAS bermakna kejayaan Islam dan kejayaan semua umat Islam. Kejayaan yang datang dari Allah atas pengorbanan besar pekerja-pekerja-Nya.

”Dan ingatlah bahawa pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Ali Imran 126)


Dakwah kita hari ini
Ramai boleh bersetuju gagasan dakwah hari ini perlu diperkasakan digerakkan dari akar umbi bermula dari setiap susuk peribadi Muslim dalam masyarakatnya. Mengakarumbikan dakwah. Kejayaan dakwah Rasulullah wajib menjadi sandaran utama usaha pembentukan sebuah generasi rabbani. Di tangan baginda, seorang murobbi yang sukses tercetaklah Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Khadijah binti khuwailid, Abdul Rahman Auf, Bilal bin Rabah, Usamah bin Zaid dan ramai lagi sahabat yang berdiri teguh dibelakang dakwah Rasulullah. Boleh kita katakan fasa Mekah adalah fasa kita hari ini.

Persoalannya, cukupkah usaha dakwah kita setakat detik ini? Mampukah kita mencetak kualiti pemuda yang disebutkan serta mampu memacu masyarakat? Mampukah kita berdepan dengan cabaran dan serangan penjajahan bentuk baru terhadap ummah kita? Berapakah kuantiti dan bagaimanakah kualiti murobbi kita yang disebutkan sebagai prasyarat kebangkitan ummah itu?

Mereka di Palestin telah membuktikannya. Rakyat berdiri tegap dibelakang pemimpin yang dipilih sendiri oleh mereka kerana keyakinan terhadap dakwah dan kekuatan HAMAS. Dari sekecil-kecil ujian sehinggalah berperang dengan jiwa, barisan pemudanya telah teruji dan terasuh dengan semua itu. Apakah tahap pemuda kita di Malaysia? Di manakah belia kita saat belia Palestin saban hari berdepan dengan peluru berpandu dan senjata yang tidak bermata?

Belia wajib membantu Palestin
Memetik fatwa Sheikhul Azhar dan Mufti Mesir, Sheikh Hassan Makmun dan juga ulama’ Muslimin: jihad adalah fardu ain ke atas umat Islam untuk membebaskan bumi Palestin yang menjadi hak milik mereka kerana Islam tidak mengenali persempadanan antara negara. Selagimana Palestin dibawah jajahan rejim Zionis, kewajipan membantu terbahu kepada semua umat Islam. Ini termasuklah anda sebagai belia. Anda wajib membantu.

Segala kesenangan yang melebihi keperluan harian adalah hak saudara kita yang menderita. Wang perbelanjaan kita yang berlebihan dari keperluan, sumbangkan kepada saudara kita yang memerlukan. Banyak mana yang ada, bagi dan hulurkan. Jangan bertangguh lagi. Mereka teramat-amat memerlukan bantuan kewangan untuk membangunkan negara dan memelihara kebajikan saudara kita di Palestin. Selain itu, kita juga mampu;

a) Menjadi duta mewakili umat Palestin di Malaysia
b) Menggerakkan IPT, sekolah atau pejabat kita untuk menjana dana dan menyemarakkan kempen selamatkan al-Aqsa
c) Menggunakan kreativiti dan kemampuan kita untuk membangkitkan kepedulian rakyat Malaysia membantu saudara kita di Palestin
d) Mencetuskan gelombang baru yang segar dalam memimpin pandangan umum terhadap kempen selamatkan al-Aqsa
e) Sentiasa tidak melupakan saudara kita dalam doa-doa dan solat kita semoga kekuatan mengiringi mereka dan juga kita untuk membantu mereka
f) Membina ketamadunan dan kekuatan umat Islam melalui pendekatan (manhaj) yang benar dalam bidang yang kita ceburi
g) Menjadi agen perpaduan dan bukannya punca perpecahan umat

Kerja besar untuk misi besar
Amal Palestin sangat mulia dan tugas yang besar. Ia bukanlah kerja amal yang bermusim. Apabila kita bersemangat kita buat. Apabila bermasalah atau kurang motivasi, semuanya senyap sunyi. Amal Palestin menuntut pengorbanan yang besar. Amal Palestin memerlukan kader dakwah yang sentiasa cergas, tersusun serta kerja berterusan (istiqamah).

Rasulullah pernah ditanya: Amalan apakah paling disukai Allah? Jawab baginda: Amalan yang dibuat secar berterusan walaupun sedilit. Sabda baginda lagi: Kamu hendaklah beristiqamah terhadap segala amalan yang kamu lakukan menurut kemampuan masing-masing. (HR al-Bukhari)

Teruskan usaha kerana ALLAH dan rasul-Nya melihat amalan ini.

Semarakkan kempen kesedaran di Malaysia
Alhamdulillah tahun 2006 berlaku peningkatan dalam usaha gerakan Islam memimpin pandangan umum terhadap isu Palestin. Kempen secara besar-besaran melalui ceramah, liputan media dan program kesedaran yang lain banyak menyemarakkan kepedulian masyarakat. Ada usaha untuk berkongsi kefahaman seterusnya menghulurkan tangan. Apa yang menarik, tahun ini menyaksikan lebih 20 pusat pengajian tinggi awam dan swasta termasuk sekolah seluruh negara yang mengadakan inisiatif tersebut dalam pelbagai acara dan pendekatan. 85% peningkatan berbanding tahun yang sebelumnya.

Sambutan hari al-Quds tahun ini (2006) bergema di mana-mana. Bagi Kolej Islam Antarabangsa, konsert ’Palestine In My Heart’ berjaya dilaksanakan dengan menampilkan artis terkenal tanahair dengan persembahan nasyid dan sajak yang amat menyentuh hati. Bagi Sekolah Islam al-Amin Gombak pula, demonstrasi bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis berjaya menarik pelajar, guru dan ibu bapa beraksi ’ganas’. Kempen Selamatkan al-Aqsa akan lebih bermakna dan efektif dengan sentuhan kreatif dari kita seperti edaran kad ucapan Selamatkan al-Aqsa, pertandingan futsal ’Free Palestine’ atau ’Cyclethon for Palestine’ untuk kutipan dana dan sebagainya. Apapun ceramah isu Palestin adalah pilihan tradisi. Sehinggakan tidak cukup kudrat dan lelah aktivis kita melayan jemputan berceramah. Apapun, ia satu petanda positif buat dakwah dan kempen selamatkan al-Aqsa di Malaysia.

Tapi apakah cukup dengan program-program di masjid, IPT dan sekolah? Medan strategik dalam media perdana belum habis diteroka. Majalah, buku, artikel dan novel belum cukup ’mengganas’ dalam pasaran. Program TV yang mendidik dan menyedarkan amat minimal sekali. Gejala hedonisme yang melampau wajar dilenyapkan digantikan dengan budaya ilmu dan budi. Cukuplah hanya mengharap ihsan rangkuman berita Jam10 TV1, jejak Rasul TV3 dan sekali-sekala Majalah 3. Bidang penerbitan sangat strategik untuk menyampaikan mesej pendidikan terhadap masyarakat. Filem, drama, dokumentari, iklan dan banyak lagi media yang ’berkuasa’ saat ini perlu dikuasai. ’Power of media’ milik umat Islam yang ikhlas menyebarkan hakikat Islam yang syumul dan dinamik. Manfaatkanlah teknologi dan berikan sokongan padu kepada saudara kita yang ingin memulakan tapak dalam media.

Memetik kata Dr. Khalil al-Haya, ketua Whip HAMAS yang pernah singgah ke Malaysia, ”Banjirilah media anda dengan isu Palestin”. Mudah-mudahan usaha kerdil ini akan membuah dan melepaskan kita dari azab Allah apabila dipersoal kelak di negeri Akhirat kelak. Kalau tidak mencuba, apa yang dapat? Kalau bukan hari ini, bila lagi? Kalau bukan anda, siapa lagi?

U kat Gombak
29 Sept 2006

No comments: